Menjelang lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Vietnam, Malaysia dan Kemboja, CGTN menerbitkan sebuah artikel mengenai bagaimana China mengikuti prinsip persahabatan, ketulusan, manfaat bersama dan keterangkuman dalam diplomasi kejiranannya dan bagaimana ia berusaha untuk membina sebuah komuniti dengan masa depan dikongsi bersama dengan negara-negara jiran.
BEIJING, 14 April 2025 /PRNewswire/ -- Presiden China Xi Jinping akan mengadakan lawatan negara ke tiga buah negara Asia Tenggara – Vietnam, Malaysia dan Kemboja – minggu depan, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Luar China pada hari Jumaat.
Lawatan lima hari ke negara-negara jiran, yang berlangsung mulai hari Isnin hingga Jumaat, akan menjadi lawatan pertama Xi ke luar negara pada tahun ini.
Lawatan ini akan dilakukan beberapa hari selepas pemimpin China ini menyeru pembinaan sebuah komuniti yang mempunyai masa depan yang dikongsi bersama dengan negara-negara jiran China di sebuah persidangan pusat baru-baru ini berhubung hal ehwal kejiranan.
Negara-negara jiran menjadi keutamaan China dalam diplomasinya dan China serta negara-negara Asia Tenggara merupakan jiran yang baik, teman yang baik dan rakan kongsi yang baik dengan masa depan yang dikongsi bersama, kata Lin Jian, jurucakap Kementerian Luar China, pada hari Jumaat.
Lawatan yang akan datang oleh presiden China membawa kepentingan yang besar untuk hubungan China dengan Vietnam, Malaysia dan Kemboja serta Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) secara keseluruhan, kata Lin dalam taklimat akhbar harian.
Lawatan berkenaan juga dijangka akan menyuntik dorongan baharu kepada keamanan dan pembangunan rantau ini dan dunia, tambahnya.
China dan Vietnam: Persahabatan berserta persaudaraan
Mulai Isnin hingga Selasa, Xi akan berkunjung ke Vietnam sempena lawatan negara keempat sebagai setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan presiden China. Lawatan ini bertepatan dengan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara China dan Vietnam, dua negara jiran sosialis yang telah menjalin ikatan yang berkekalan sebagai "persahabatan berserta persaudaraan."
Kali terakhir Xi melawat Vietnam ialah pada Disember 2023, apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk membina komuniti China-Vietnam dengan masa depan dikongsi bersama yang membawa kepentingan strategik, seterusnya mengangkat hubungan dua hala ke tahap baharu.
Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Vietnam berkembang dengan mantap dalam beberapa tahun kebelakangan ini. China menjadi rakan dagangan terbesar Vietnam sejak tahun 2004, manakala Vietnam menjadi rakan dagangan terbesar China dalam ASEAN sejak tahun 2016. Volum dagangan dua hala telahpun melangkaui $200 bilion selama empat tahun berturut-turut, mencecah $260.65 bilion pada tahun 2024, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 13.5 peratus, seperti yang ditunjukkan oleh data daripada Kementerian Perdagangan China.
Pelaburan langsung perusahaan Cina di Vietnam melangkaui $2.5 bilion pada tahun 2024, mengekalkan pertumbuhan yang pantas dan menjadikan Vietnam sebagai destinasi pelaburan luar negara yang penting untuk China, menurut kementerian.
China dan Malaysia: Model kerjasama saling menguntungkan
Kali terakhir Presiden China melawat Malaysia ialah pada tahun 2013, apabila kedua-dua negara meningkatkan hubungan kepada perkongsian strategik yang komprehensif. Kemudian sedekad selepas itu, Xi dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mencapai persetujuan di Beijing untuk membina secara bersama komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China dan Malaysia mengekalkan pembangunan peringkat tinggi dalam hubungan. Kedua-dua pihak mencapai interaksi peringkat tinggi yang kerap, terus mengukuhkan sikap saling mempercayai politik, mencapai hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama praktikal, menunjukkan contoh persefahaman antara satu sama lain dan kerjasama yang saling menguntungkan antara negara-negara jiran.
Kolaborasi China-Malaysia telahpun berkembang secara lebih luas. China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan volum dagangan mencecah paras tertinggi sebanyak $212.04 bilion pada tahun 2024. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, buah-buahan tropika Malaysia seperti durian, manggis dan nangka menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna Cina.
China dan Malaysia ialah negara sedang membangun yang penting dan ekonomi baru muncul di Asia-Pasifik. Lawatan yang akan datang oleh pemimpin China akan menjadi satu peristiwa penting dalam menggalakkan peningkatan hubungan antara China dan Malaysia, kata Lin, jurucakap Kementerian Luar China.
Melalui lawatan ini, China berharap dapat mengukuhkan lagi penyelarasan dengan Malaysia berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa, menggerakkan hubungan dua hala ke arah membina komuniti China-Malaysia peringkat tinggi yang strategik dengan masa depan dikongsi bersama dan memberi sumbangan baharu kepada kekuatan dan perpaduan yang semakin meningkat di Selatan Global serta keamanan dan kestabilan di rantau ini, katanya.
China dan Kemboja: Persahabatan yang kukuh
Kali terakhir Xi mengadakan lawatan negara ke Kemboja ialah pada tahun 2016. Pada September 2023, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet memilih China sebagai destinasi luar negara rasmi pertamanya selepas memegang jawatan, suatu isyarat yang mencerminkan keutamaan diplomatik Kemboja. Semasa pertemuan mereka ketika itu, Xi dan Hun Manet berjanji untuk meneruskan lagi persahabatan yang kukuh antara China dan Kemboja.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China dan Kemboja terus memperdalam sikap saling mempercayai yang strategik, memperkayakan rangka kerja kerjasama "Heksagon Berlian" ("Diamond Hexagon"), melakar kemajuan yang mantap dalam pembinaan Koridor Pembangunan Industri dan "Koridor Ikan dan Beras," lalu mencapai hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama secara menyeluruh.
China telahpun menjadi pelabur dan rakan dagangan asing terbesar Kemboja selama beberapa tahun berturut-turut. Perjanjian Perdagangan Bebas China-Kemboja, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, menyaksikan pengaturan perdagangan bebas dua hala Kemboja yang pertama seumpamanya. Pada tahun 2024, volum dagangan antara Kemboja dan China mencecah $15.1 bilion, melonjak 23.8 peratus tahun ke tahun.
Lin berkata, semasa lawatan yang akan datang oleh presiden China, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan berhubung peningkatan hubungan dua hala dan mengadakan pertukaran pandangan secara mendalam mengenai lima aspek termasuk sikap saling mempercayai politik, kerjasama yang saling menguntungkan, keselamatan, pertukaran budaya dan sesama rakyat serta penyelarasan strategik.