JAKARTA, Indonesia, 29 Ogos 2025 /PRNewswire/ -- Mayapada Healthcare (IDX:SRAJ), iaitu cabang perkhidmatan penjagaan kesihatan Mayapada Group, mengadakan majlis permulaan bagi menandakan bermulanya pembangunan hospital bertaraf antarabangsanya, Mayapada Apollo Batam International Hospital (MABIH) yang terletak di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Pelancongan Batam dan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa, Sekupang, Batam, Kepulauan Riau. Majlis ini dipimpin oleh Pengerusi Badan Penguasaan Kawasan Perdagangan Bebas Batam Indonesia (BP Batam), Amsakar Achmad. Majlis ini turut menyaksikan satu langkah penting dalam mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan negara Indonesia sekali gus mengurangkan pergantungan kepada rawatan perubatan luar negara.
Dalam fasa pertama, MABIH akan dibangunkan di atas kawasan seluas 1.68 daripada 2.9 hektar dalam SEZ Pelancongan Batam dan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa, dengan fasa kedua menambah klinik khusus, kemudahan sokongan serta ameniti yang direka untuk memberikan keselesaan kepada pesakit dan juga keluarga. Melalui kolaborasi bersama Apollo Hospitals India dan disokong oleh kerajaan, MABIH akan dibangunkan sebagai sebuah hospital hijau yang direka oleh HKS Singapore, Perancang Perubatan; dengan 11 tingkat, satu tingkat bawah tanah separa, 250 katil dan akan membawakan teknologi canggih serta peralatan termaju di pusat kecemerlangannya (kardiovaskular, onkologi, neurologi, gastrohepatologi dan ortopedik). Dijangka siap menjelang tahun 2027, MABIH akan menjadi hospital antarabangsa swasta pertama di SEZ, selepas Bali International Hospital milik kerajaan di SEZ Sanur.
Jonathan Tahir, Presiden Pesuruhjaya Mayapada Healthcare, menyatakan, "Pembinaan MABIH bukan sahaja merupakan satu pelaburan dalam penjagaan kesihatan tetapi juga pelaburan untuk masa depan negara. Kami percaya setiap warga Indonesia berhak mendapat akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara. Melalui MABIH, kami bermatlamat untuk mengukuhkan ketakbersandaran penjagaan kesihatan Indonesia di samping meningkatkan kepercayaan rakyat Indonesia terhadap kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan domestik."
Rizal Edwin Manansang, Pemangku Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan SEZ, mewakili Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, mendedahkan bahawa hampir dua juta rakyat Indonesia mendapatkan rawatan perubatan di luar negara setiap tahun yang membawa kepada potensi aliran keluar pertukaran asing sehingga IDR 200 trilion. Isu ini mendapat perhatian serius daripada Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto yang memandang penubuhan MABIH sebagai sebuah projek strategik yang memberi impak besar kepada industri penjagaan kesihatan negara. "Saya benar-benar menghargai inisiatif daripada Mayapada Healthcare untuk menubuhkan MABIH di kawasan strategik ini. SEZ Pelancongan Batam dan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa merupakan satu kejayaan strategik oleh pihak kerajaan, susulan SEZ penjagaan kesihatan terdahulu di Sanur yang bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan bertaraf antarabangsa. Melalui inisiatif ini, kami dapat menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang setanding dengan yang terbaik di dunia untuk rakyat Indonesia."
Amsakar Achmad, Pengerusi BP Batam menyatakan, "Hal ini selaras dengan arahan Presiden dari segi bagaimana caranya Batam boleh menyumbang dengan ketara bagi memacu ekonomi dan menarik pelaburan." Beliau juga berharap MABIH akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Batam melalui penciptaan ratusan peluang pekerjaan profesional baharu dan meningkatkan daya saing wilayah ini. "Menerusi standard antarabangsa Mayapada, penduduk yang sebelum ini terpaksa berkunjung ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan kini boleh menerima rawatan di sini. Malah, kami juga optimis bahawa Batam boleh menarik pesakit antarabangsa untuk mendapatkan rawatan di dalam negara. Mayapada akan menjadi destinasi yang baharu untuk pelancongan perubatan di Batam."
Navin Sonthalia, Presiden Pengarah & Ketua Pegawai Eksekutif Mayapada Healthcare menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi bersama Apollo Hospitals India akan memberi kedudukan kepada MABIH sebagai sebuah hab inovasi yang menyatukan kepakaran bertaraf dunia dan pemindahan ilmu yang berterusan bagi mengurangkan pesakit ke luar negara. Beliau menyatakan, "Dengan pelaburan sebanyak lebih IDR 1 trilion, MABIH akan membawakan teknologi canggih dan pusat kecemerlangan bertaraf antarabangsa. Peraturan SEZ memberikan kelebihan strategik: mengupayakan kehadiran doktor kanan asing dengan kepakaran khusus, memperkukuh kolaborasi bersama para doktor Indonesia yang cekap di peringkat global dan memudahkan capaian kepada peranti perubatan canggih dan ubat-ubatan penting untuk terapi inovatif yang sebelum ini sukar diperoleh. Digabungkan dengan insentif fiskal yang mengurangkan kos operasi, semua elemen ini ditujukan ke arah menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa pada kos yang kompetitif untuk rakyat Indonesia."
Dalam kenyataan yang berasingan, Dr. Sangita Reddy, Pengarah Urusan Bersama Apollo Hospitals menyatakan, "MABIH merupakan hasil daripada perkongsian global yang kukuh, menyaksikan langkah penting dalam membawa inovasi penjagaan kesihatan rentas sempadan ke Indonesia. Menerusi Mayapada Healthcare, kami bersedia untuk membawa kepakaran klinikal, teknologi canggih dan amalan terbaik ke Indonesia bagi membina ekosistem penjagaan kesihatan yang bingkas serta meningkatkan kualiti penjagaan negara."