BEIJING, 19 Ogos 2025 /PRNewswire/ -- CGTN menerbitkan sebuah artikel yang menonjolkan Kampung Galai, iaitu "Perkampungan Bunga Pic Pertama" Xizang dan transformasinya melalui pengangkutan, pelancongan, ekologi dan mata pencarian yang lebih baik. Hal ini menggambarkan kemajuan pesat wilayah ini dalam aspek pembangunan dan pemodenan sejak enam dekad yang lalu.
"Saya tumpang gembira apabila mengetahui bahawa kampung berkenaan mengalami perubahan baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan pendapatan penduduk kampung turut meningkat," seperti yang dicoretkan oleh Presiden China Xi Jinping dalam sepucuk surat baru-baru ini kepada semua penduduk Kampung Galai di Bandar Nyingchi, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China.
Penduduk kampung telah menulis surat kepada Xi untuk berkongsi kemajuan mereka dan menyatakan keazaman untuk bekerja keras demi menjalani kehidupan yang lebih baik. Perhubungan surat-menyurat mereka berlaku empat tahun selepas Xi melawat Kampung Galai semasa satu lawatan pemeriksaan pada Julai 2021, suatu perjalanan yang membuatkan beliau berasa kagum dengan rumah yang kemas, penduduk yang mesra dan keindahan pemandangannya.
Ini merupakan suatu rahmat yang ditinggalkan oleh nenek moyang anda, hadiah "Daerah Bunga Pic," kata Xi semasa lawatan tersebut.
Dalam budaya Cina, "Daerah Bunga Pic" ialah metafora untuk sebuah komuniti yang indah dan harmoni yang berasal daripada kisah dongeng abad ke-5 yang terkenal oleh penyajak Tao Yuanming. Dikenali sebagai "Perkampungan Bunga Pic Pertama" Xizang, Kampung Galai meriah dengan warna merah jambu dan putih pada setiap musim bunga, lalu menarik minat para pelancong dari seluruh China dan selanjutnya serta mengubah penempatan yang dahulunya terpencil itu menjadi sebuah destinasi yang berkembang maju.
Bermula daripada 'jalan langit' menjadi 'jalan makmur'
Kisah transformasi Galai bermula dengan dua "jalan."
Jalan pertama ialah "jalan langit" ke dataran tinggi yang dilitupi salji. Sebelum pembebasan Xizang yang aman pada tahun 1951, tidak ada jalan yang sesuai untuk kenderaan, apatah lagi landasan kereta api. Hal ini berubah setelah siapnya lebuh raya Qinghai-Xizang dan Sichuan-Xizang pada tahun 1954, diikuti dengan pembukaan Landasan Keretapi Qinghai-Xizang pada tahun 2006.
Panjang jalan raya di Xizang mencecah hampir dua kali ganda dalam tempoh 12 tahun, mencapai 124,900 km menjelang akhir tahun 2024, meningkat daripada 65,200 km pada tahun 2012. Menjelang tahun 2024, Xizang mempunyai landasan kereta api yang beroperasi sejauh 1,359 km, iaitu hampir dua kali ganda berbanding 701 km yang dicatatkan pada tahun 2012. Ia turut mengendalikan 183 laluan penerbangan yang menghubungkan wilayah ini dengan 78 bandar domestik serta bandar antarabangsa.
Jalan kedua pula ialah "jalan makmur" bagi pembangunan ekonomi. Xi sudah lama menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap Xizang, bermula sejak khidmatnya di Wilayah Fujian pada tahun 1990-an, apabila Fujian dan Nyingchi menjalin perkongsian yang erat sebagai sebahagian daripada mekanisme bantuan gandingan unik China yang dimulakan pada tahun 1994 bagi memberikan sokongan langsung serta tekal kepada lokaliti di Xizang daripada wilayah dan kawasan yang lebih maju.
Pada tahun 2011, sebagai naib presiden, Xi mengetuai perwakilan pusat sempena perayaan untuk menyambut ulang tahun ke-60 pembebasan aman Xizang, melawat kampung-kampung berdekatan dan menggalakkan penduduk tempatan untuk mempromosikan industri pelancongan serta melindungi alam sekitar di kawasan berkenaan.
Di Galai, pelancongan kini berkembang maju seiring bersama industri-industri ekologi seperti pertanian organik. Penampilan kampung ini juga digiatkan semula dan pada tahun 2024, pendapatan boleh guna per kapita melebihi 40,000 yuan (kira-kira $5,579).
Gambaran ringkas transformasi Xizang
Kemajuan Galai mencerminkan pencapaian yang lebih luas di seluruh Xizang sepanjang 60 tahun yang lalu, iaitu sejak penubuhan Wilayah Autonomi Xizang.
Xizang menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang mantap, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) wilayahnya mencecah 276.5 bilion yuan pada tahun 2024, 155 kali ganda berbanding tahun 1965. Wilayah ini turut mencatatkan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.9 peratus dan KDNKnya diunjurkan melebihi 300 bilion yuan pada tahun ini. Pada tahun 2024, pendapatan boleh guna per kapita penduduk bandar di Xizang mencapai 55,444 yuan, iaitu 121 kali ganda berbanding tahun 1965, dengan purata pertumbuhan tahunan mencapai 8.5 peratus.
Dalam suratnya, Xi menyuarakan harapannya agar penduduk kampung akan melaksanakan tugas yang lebih baik bagi melindungi keindahan alam semula jadi kawasan dataran tinggi, membangunkan jenama pelancongan kampung berkenaan dan menyumbang untuk membina kawasan sempadan yang makmur dan stabil. Pesanannya turut menggambarkan visinya yang lebih luas buat Xizang yang mana kehidupan yang lebih baik berjalan seiring dengan memelihara budaya dan ekologi etniknya yang unik.